Friday, 9 June 2017




KATA peminat tegar karipap, seketul karipap mana pernah mengenyangkan, mesti makan dua atau tiga biji baru puas. Kadangkala ada yang merungut saiz karipap yang semakin mengecil biarpun harganya bertambah.

Berbeza kalau melihat karipap yang dijual di NeoCyber, Cyberjaya ini. Pembeli pasti terkejut kerana saiznya yang besar, lebih besar daripada saiz tapak tangan orang dewasa!

Idea untuk menjual karipap yang disebut karipap lori ini adalah daripada seorang remaja yang baru berusia 19 tahun, Mohd. Nasirudin Ayasyi Amru.

Mengakui salah seorang peminat tegar karipap, Mohd. Nasirudin juga suka berniaga.
Minat berniaga tersebut telah dipupuk oleh bapanya sendiri, Amru Najmi Osman yang sanggup memberi modal dengan meletakkan syarat, perlu berjaya dalam pelajaran dahulu dan perniagaan sebagai sampingan untuk menambah duit poket sementara masih belajar.

"Di kawasan Cyberjaya ini Majlis Perbandaran Sepang (MPS) tidak membenarkan gerai dibuka di tepi jalan, jadi saya mengambil peluang membuka satu ruang di kawasan perniagaan ini untuk perniagaan karipap saya.

"Alhamdulillah sejak ia dibuka kira-kira dua bulan lalu, karipap lori mendapat sambutan hangat hanya menerusi promosi dari mulut ke mulut.

"Barangkali juga nama yang saya pilih iaitu karipap lori membuatkan ramai orang teruja untuk mencuba sendiri," jelasnya.

Menceritakan tentang pemilihan nama karipap lori itu, Mohd. Nasirudin berkata sudah tentu lori itu merujuk kepada sesuatu yang bersaiz besar.

"Idea itu datang spontan dan semua ahli keluarga bersetuju dengan cadangan tersebut. Bermula dari itu saya merangka strategi promosi lain dengan menghasilkan logo, banner, bunting dengan idea saya sendiri," ujar anak sulung dari enam beradik ini.

Mohd. Nasirudin mengakui terpaksa belajar setiap proses membuat karipap daripada memilih tepung menguli, menyiapkan inti hinggalah menggoreng pada tahap kepanasan yang sesuai.

"Sebenarnya resipi karipap ini adalah turun temurun daripada nenek saya. Pada mulanya nenek saya buat beberapa jenis karipap dan saya sebagai tukang rasa, mana yang paling lazat, resipi itulah yang menjadi signature untuk karipap lori.

"Istimewanya karipap lori ini ialah terdapat dua jenis iaitu ayam dan daging dan saya menggunakan ubi keledek. Yang menariknya juga bahagian tengah karipap ini ada telur rebus bersaiz separuh yang menambah kelazatan karipap ini.

"Sebab itu ia juga boleh dikatakan makanan yang berkhasiat dan mengenyangkan. Seketul saja sudah cukup untuk mewakil makan pagi, tengahari atau makan petang.

"Untuk kulit karipap juga kami menggunakan ubi dan tepung yang berkualiti, ini semuanya untuk menjaga mutu dan kesedapan karipap lori ini," ujar Mohd. Nasirudin yang turut meletakkan harga iaitu
RM2.50 untuk seketul karipap.

Mohd. Nasirudin, yang kini merupakan pelajar di UniKL dalam jurusan animasi, juga amat bertuah kerana perniagaannya sudah mula mendapat perhatian beberapa usahawan dari Bangi, Kajang dan Kerteh, Terengganu.

Mereka mohon karipap lori untuk difrancaiskan dan mempunyai cawangan seluruh Malaysia.

"Walau baru dua bulan, karipap lori sudah menjadi fenomena. Dalam sehari saja kami menjual dari 120 hingga 200 biji karipap malah sudah mendapat tempahan untuk majlis-majlis.

"Ayah saya berpesan, pelajaran perlu dihabiskan terlebih dahulu, sekarang saya sedang dalam cuti semester dan apabila kuliah bermula saya akan hanya memantau perniagaan ini pada hujung minggu," ujar Mohd. Nasirudin lagi.

Bagi yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang karipap lori boleh lawati www.facebook.com/karipaplori.
0


Nicholas Pillai menunjukkan pati anggur yang dicampur dengan air soda.

Pernahkah terfikir untuk menikmati hidangan burger bersama semangkuk anggur? Mungkin ada yang beranggapan ia tidak sesuai dan bukan satu padanan yang menyelerakan. Namun, ia sebenarnya satu cetusan idea yang menarik bagi mengimbangkan kandungan vitamin dalam makanan.


Kajian menunjukkan setiap makanan yang kita makan perlulah diambil seiring dengan makanan antioksida untuk mengelak tekanan akibat makanan tidak hadam.

Justeru, adalah baik untuk kesihatan sekiranya menu yang diambil seiring dengan buah atau sayur yang mengandungi agen antioksida yang tinggi.

Agen antioksida seperti yang diketahui berupaya meneutralkan radikal bebas yang dirangsang daripada tekanan terhadap tubuh, sama ada secara semula jadi mahupun dari luar seperti merokok dan pencemaran udara.

Antara buah yang mempunyai kadar antioksida yang tinggi ialah anggur. Berdasarkan kajian yang pernah dibentangkan di Simposium Kesihatan Manusia dan Kesan Terhadap Buah dan Sayuran di Houston, Texas, Amerika Syarikat, baru-baru ini mendapati, antara buah-buahan yang terkenal dengan khasiat spesifiknya tersendiri adalah anggur. Penggunaannya dapat menghasilkan hampir dua kali ganda daripada amaun kapasiti antioksida yang disyorkan untuk melawan kembali pengurangan penggunaan 1,000 kalori dalam makanan.

"Hasil kajian ini menunjukkan bahawa anggur adalah agen antioksida yang baik dan sesuai untuk tubuh manusia," ujar presiden Suruhanjaya Anggur California, Kathleen Nave.

Kreativiti masakan anggur Penasihat makanan dan minuman, Nicholas Pillai ingin berkongsi resipi rekaannya sendiri menggunakan anggur.

Beliau yang juga penulis buku Healthy Eating-Recipes for the Asian Palate berkata, pati anggur boleh dibuat dengan mudah.

Malah anggur yang sedikit tua juga boleh dibuat pati asal betul cara penyediaan dan simpanannya.

"Caranya ialah dengan menyediakan anggur yang kita suka, kemudian didihkan air dan gula, campurkan buah-buah anggur tadi dan kacau untuk lebih kurang lima minit.

"Pastikan jangan didihkan ia, biarkan sejuk kemudian dikisar. Simpan pati tersebut di dalam bekas khas yang bersih dan letak di dalam peti sejuk beku," katanya yang pernah menjadi chef eksekutif di sebuah hotel swasta di Kuala Lumpur.

Anak Malaysia pertama mendapat anugerah Culinary Trust dari International Association of Culinary Professional itu berkata, anggur boleh dimakan dengan apa juga makanan kerana rasanya yang manis dan sedikit masam.

"Jadi ia tidak memualkan dan bagi yang tidak suka memakan anggur begitu sahaja, boleh mencuba resipi yang saya reka khas ini," kata pemegang sarjana Gastronomi dari Universiti Adelaide, Australia.

Nicholas berpeluang menunjukkan satu masakan dan minuman yang istimewa menggunakan anggur California.
0




MENCIPTA resipi baru untuk dinikmati bersama setiap ahli keluarga memang yang menyeronokkan apatah lagi apabila keenakan masakan tersebut mendapat pujian.  Sememangnya memasak juga satu kerja 'seni' kerana ia memerlukan kreativiti dan imaginasi bagi mengadun setiap bahan masakan yang digunakan.
Pemilihan bahan untuk masakan bukan saja perlu serasi antara satu sama lain supaya melahirkan rasa dan aroma yang lazat, bahkan lebih memberi manfaat jika ia dapat meningkatkan tahap kesihatan.
Di sini kebijaksanaan tukang masak dalam mempelbagaikan bahan masakan amat dituntut.
Misalnya, menggantikan santan kelapa yang sememangnya diketahui mempunyai kandungan kolesterol tinggi dengan bahan alternatif terbaik tanpa menjejaskan kelazatannya.
Berkongsi pengetahuan tersebut seorang pakar masakan dari Australia, Chef Glenn Austin, menemui kaedah terbaik bagi menggantikan santan dalam masakan dengan produk tenusu.
Bertempat di The French Culinary School In Asia, di Menara IMC, Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau menunjukkan kemahirannya dengan menghasilkan beberapa sajian daripada resipi sendiri dengan menggunakan bahan tenusu UHT Anchor.
Austin juga terlibat secara langsung dalam penghasilan bahan tenusu berbentuk krim ini dengan mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk memastikan produk ini benar-benar bersedia menambah kelazatan masakan.
"Krim ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk iaitu krim putar, krim keju, mentega dan keju," jelasnya.
Tambah Austin, krim masakan ini diperbuat daripada susu lembu segar dan amat sesuai untuk dijadikan hidangan seisi keluarga.
"Krim ini boleh ditambah ke dalam gulai kari untuk memberikan lebih rasa lemak," tambahnya.
Sambil menyediakan hidangan daging stik masam manis, Austin menerangkan tentang Anchor UHT Culinary Cream yang diformulasi khas untuk masakan dalam suhu yang tinggi dan juga masakan dalam keadaan berasid.
"Apabila dimasak dalam suhu yang tinggi, keadaan krim masih sama, pekat dan lembut. Malah, apabila dicampur dengan bahan berasid seperti lemon, teksturnya tidak berubah dan rasa masakan akan lebih pelbagai," jelas Austin.
Selain itu, produk ini amat sesuai bagi menghasilkan krim sos atau pencuci mulut sama ada panas atau sejuk.
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
0


BUKAN mudah memikul tanggung jawab sebagai penyedia makanan untuk satu-satu majlis kenduri, terutamanya majlis perkahwinan yang jemputannya mencecah ribuan orang.
Selalunya apabila tetamu yang hadir melebihi jangkaan tuan rumah, maka akan timbul masalah. Tetamu mula merungut, tuan rumah tidak keruan dan paling tak sedap pihak penyaji makanan atau katering pula yang dipersalahkan.
Walau majlis sudah berakhir, masih ada 'sok-sek' jiran tetangga yang 'bergosip' tentang kekurangan yang berlaku pada majlis tersebut, terutama jika ia melibatkan hal makanan. Umpama pepatah Melayu 'rumah sudah siap pahat masih berbunyi.'
Itulah resam yang dialami kebanyakan pengusaha katering, termasuklah Mastar Catering yang diterajui pengasasnya, Mastar Muni.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Wak Mastar, berkongsi beberapa kisah pahit manis mengemudi kenduri kahwin sejak enam tahun lalu.
"Biasanya tuan rumah menetapkan jumlah tetamu. Namun ada juga berlaku yang hadir melebihi daripada dijangka. Jadi apabila makanan tidak cukup kami (pihak katering) pula yang dipersalahkan sedangkan tuan rumah yang tidak membuat persediaan dengan menambah anggaran tetamu.
"Namun bagi kami di Mastar Catering, apa yang berlaku kami jadikan pengajaran.
"Sebagai penyelesaian segera, biasanya kami menyediakan peralatan memasak di tempat kenduri dan bersedia dengan barangan mentah seperti beras dan ayam andai kata keperluan menambah makanan diperlukan secara tiba-tiba oleh tuan rumah.
"Jika makanan tidak cukup, kami terus berbincang dengan tuan rumah. Jika dia bersetuju maka kami akan terus masak nasi dan sekurang-kurangnya satu lauk seperti ayam masak merah," jelas Mastar yang ditemui di kediamannya yang terletak di Taman Impian Ehsan, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Bercerita tentang kenangan lama yang sukar dilupakan, Wak Mastar berkata, beliau pernah hampir disaman oleh pelanggan kerana masalah makanan tidak cukup.
"Peristiwa itu berlaku pada tahun 2007. Ini merupakan kali pertama kami menerima tugasan kenduri pada waktu malam. Tuan rumah setuju masak untuk 300 tetamu tetapi yang hadir sehingga 700 tetamu.
"Kisahnya apabila tetamu yang tidak dapat makanan mengeluarkan kata-kata kesat pada seorang petugas katering dan petugas tersebut terus membela diri dengan mengatakan kekurangan makanan tersebut bukan berpunca daripada pihaknya.
"Akhirnya tuan rumah pula ingin membuat laporan polis. Kami hampir disaman kerana peristiwa tersebut sedangkan tuan rumah yang tidak mengarahkan kami untuk masak lebih.
"Kes tersebut akhirnya diselesaikan dengan cara baik. Demi maruah kami, saya mengambil keputusan untuk tidak menerima bayaran penuh dari tuan rumah," ujar Wak Mastar yang mengakui mendapat pengajaran daripada peristiwa ini.
Selain berhadapan dengan masalah makanan tidak cukup, Wak Mastar juga pernah mendapat pelanggan yang mahukan harga murah, sedangkan kos bahan mentah kini semakin tinggi.
Sudah tentu ia menyulitkan pihaknya untuk bersetuju dengan tawaran tersebut.
"Pernah juga di satu majlis itu menjelang petang sudah tiada tetamu yang datang dan tuan rumah mengarahkan kami membungkus lebihan makanan. Tiba-tiba ada pula yang hadir. Bayangkan kami terpaksa membuat hidangan semula, tetamu pula merungut pada kami seolah-olah kami yang salah.
"Inilah antara kepahitan yang kami pihak katering terpaksa hadapi bila berhadapan dengan kerenah pelbagai manusia," ujar Wak Mastar lagi.
Berhadapan dengan tuan rumah yang mahu menambah lauk dimasak sendiri juga punya kisah yang tersendiri.
Menurut Wak Mastar, jika berlaku hal itu, kesannya ada dua. Pertama kalau makanan yang ditambah itu sedap dan kedua jika makanan itu tidak sedap.
"Kalau tak sedap tentulah beri kesan kepada pihak katering. Tapi kami tentunya mempunyai penyelesaian untuk perkara ini.
"Pihak Mastar Catering biasanya akan menyediakan satu bekas khas siap dengan papan tanda yang tercatat 'persediaan dari tuan rumah.'
"Jadi tetamu akan sedia maklum tentang perkara itu. Sebab biasanya lauk dari tuan rumah ini kuantitinya sedikit, jadi penjelasan dengan papan tanda itu memudahkan semua pihak dan tidak timbul isu lagi," kata Wak Mastar yang bertuah kerana mendapat pekerja yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.
Dalam tempoh lima hingga enam tahun mengemudi bahagian masakan, Wak Mastar semakin 'masak' dengan kerenah pelanggan.
Malah beliau dan ahli kumpulannya sudah mampu mengambil tempahan dari serata Malaysia.
Tempahan yang dibuat seminggu sebelum majlis juga tiada masalah bagi Mastar Catering.
Kalau pada awal perniagaan dulu mereka beroperasi dari rumah, kini beliau boleh berbangga apabila dapat beroperasi dengan lebih sistematik dan efisien dari kilang yang berhampiran dengan kediamannya sendiri.
"Bagi saya walaupun kini zaman IT (teknologi maklumat), tuan rumah sepatutnya menentukan jumlah tetamu berdasarkan kad jemputan dan bukannya jemputan dengan SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) atau Internet. Ini kerana sukar memastikan kehadiran yang tepat dengan cara itu.
"Evolusi katering dulu dan kini juga banyak berubah terutama dari aspek dekorasi dan kualiti makanan. Kebanyakan pengantin mahu konsep dekorasi yang bertema dan itu semua kami realisasikan.
"Pelanggan Mastar Catering juga memang bertuah kerana kami akan memastikan makanan yang dihidang kekal panas hingga ke petang walaupun dimasak seawal 10 pagi.
"Proses pemanasan menggunakan kaedah stim ini terbukti membangkitkan rasa teruja dan selera para tetamu walaupun mereka tiba lewat di rumah pengantin. Malah rasa makanan itu juga tidak akan terjejas sama sekali," katanya.
Antara faktor kejayaan Mastar Catering adalah kecekapan petugas dan layanan mesra dengan pelanggan dan tetamu.
Bukan itu saja, petugas juga dikehendaki berpakaian seragam yang kemas sesuai dengan imej katering itu sendiri.
"Demi memastikan tetamu puas dan rasa selesa apabila berkunjung ke rumah pengantin, kami menyelami sendiri perasaan tetamu. apa yang tetamu mahukan contohnya air, semuanya disediakan di atas meja bulat dan bukan di bahagian bufet.
"Ini semua supaya tetamu dapat menikmati hidangan dan dipermudahkan," katanya yang mengakui Mastar Catering kini mampu mengendalikan kenduri kendara di luar mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia.
Untuk tempahan katering boleh hubungi 016 - 6725543 (Wak Mastar) atau 017 - 8812241 (Dek Na).
Oleh Noor Fazrina Noor Kamal
0

Author