Saturday, 13 May 2017


UDANG tandoori.
BERIANI, tandoori, naan, kari, dal, tosai dan capati adalah antara beberapa masakan India yang sebati dengan selera rakyat Malaysia. Tidak ketinggalan lasi mangga yang popular sebagai penghilang dahaga.
Namun apabila disebut rogan gosh, gulab jamun, tikka dan aloo gobi, ramai yang masih terpinga-pinga sedangkan ia juga masakan asli dari India yang tidak kurang enaknya.
Bagi yang belum pernah mencuba masakan dari utara dan selatan India ini, mungkin inilah masa untuk meluangkan masa mencuba sajian di Restoran Bombay Spice.
Terletak di tingkat bawah, pusat membeli belah The Gardens, Kuala Lumpur, restoran ini menyajikan hidangan asli India yang menyelerakan dalam suasana yang selesa dan santai.
Mengetengahkan konsep sajian kasual, restoran ini mensasarkan keluarga dan golongan kelas pekerja untuk hidangan berkualiti dalam lingkungan harga yang berpatutan.
Pengarah Spice of India, Thesan Selva berkata, di Bombay Spice, mereka menggunakan herba dan rempah ratus yang diimport sepenuhnya dari India bagi memastikan kualiti penyediaan dan rasa masakan betul-betul asli.
"Kebanyakan restoran India di Malaysia telah diubah sedikit resipinya untuk disesuaikan dengan selera rakyat tempatan. Tapi di Bombay Spice kami mengekalkan rasa asli hidangan India untuk mereka yang benar-benar ingin merasa gabungan herba, rempah dan kepakaran menyediakan sajian yang amat menyelerakan," ujarnya ketika ditemui pada sesi mencuba masakan di restoran tersebut baru-baru ini.
Thesan berkata, bagi memastikan sajian yang disediakan benar-benar asli dan memenuhi selera, dua chef berpengalaman diberi tanggungjawab memikul tugas itu.
"Seorang chef pakar dalam bahagian tandoori dan seorang lagi untuk bahagian penyediaan kari dan kuah. Ini bermakna kami menghidangkan masakan yang segar, panas dan paling penting ia halal.
"Pelanggan juga boleh melihat sendiri chef menyediakan masakan yang diingini menerusi cermin yang ada di ruang dapur," ujarnya.
Selain sajian-sajian asli dari India, Bombay Spice turut mempertaruhkan hidangan beriani yang dimasak dengan cara yang istimewa sebagai tarikan ke restoran itu.
Daging ayam atau kambing untuk beriani tersebut dimasak berlapis-lapis dan kemudian dicampur dengan beras berserta rempah kari dan herba untuk membangkitkan aroma yang menyelerakan.
Pelanggan yang datang pada waktu petang pula berpeluang memilih hidangan minum petang seperti samosa, teh masala dan snek.
Restoran ini juga unik dengan dekorasinya kerana rak di dinding penuh dengan mangkuk keluli yang biasa digunakan orang India untuk penyediaan makanan.
"Pelanggan yang berkenan dengan mangkuk-mangkuk keluli yang diimport dari India ini, boleh membelinya untuk kenangan atau digunakan di rumah," ujar Thesan.
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
0


Chef Jaafar Onn bersama sajian yang disediakan di Hotel Grand Dorsett.

TENTU sekali berbuka puasa sambil mendengar celoteh chef selebriti Jaafar Onn adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam kehidupan anda. Jadi untuk merasai pengalaman tersebut, apa kata anda sekeluarga berbuka puasa di Checkers Cafe yang terletak di Hotel Grand Dorsett, Kuala Lumpur.
Siapa tidak kenal dengan Jaafar Onn yang petah berceloteh dengan lawak jenakanya yang spontan dan menghiburkan. Jaafar Onn juga tidak berseorangan dan akan ditemani oleh sahabatnya yang juga seorang penyanyi, Haiza untuk menceriakan lagi suasana berbuka anda.
Dalam promosi Ramadan yang dinamakan Cita Rasa Selera, anda akan menikmati bukan sahaja celoteh riang malah kesedapan masakan dari hasil tangan selebriti itu sendiri. Antara masakan yang bakal dihidangkan oleh Jaafar Onn ialah Nasi Lebaran, Ayam Mak Dara, Daging Masak Muara dan Nasi Seri Tanjung.
Jangan kata anda tidak kecur liur dengan hidangan istimewa Chef Jaafar Onn yang memang pakar dalam dunia masakan sejak dahulu lagi.
Cita Rasa Selera ini akan bermula pada 1 Ogos ini yang akan menghidangkan makanan bercirikan Malaysia termasuklah hidangan yang sudah jarang dapat dinikmati masyarakat moden masa ini.
Antara menu yang istimewa itu ialah burung puyuh goreng berkunyit, serunding ayam, paru goreng berlada, kerabu nangka muda, kerabu daun silom, kacang botol dan kacang panjang.
Tak termasuk lagi tempe goreng berempah dan pais udang.
Bukan itu sahaja, aneka sambal juga tersedia untuk menambah selera anda.
Perancangan anda untuk berbuka di Dorsett bukan sia-sia kerana anda akan mendapat lebih dari apa yang anda jangkakan. Aneka mi berkuah, lauk-pauk malah pencuci mulut yang pasti membuatkan anda puas hati terhidang di depan anda.
Semua itu boleh dinikmati dengan bayaran RM75++ seorang.
Cepat buat tempahan tempat untuk satu kenangan manis anda di bulan Ramadan ini. Sila hubungi, 03-27161000 sambungan 188.
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
0



us Rib Eye Steak, pasti memberi kepuasan kepada penggemarnya.
TERINGIN hendak menikmati stik dalam suasana seakan sebuah kapal lama? Ditambah pula dengan layanan kelasi yang lengkap berpakaian seragam, pastinya memberikan satu perasaan sentimental bagi pelanggan yang berkunjung. Itulah The Ship, restoran masakan Barat yang telah 38 tahun bertapak di negara ini. Dengan tagline 'The Best Steak In Town', The Ship menghidangkan kepada anda rangkaian stik istimewa.
Restoran yang telah wujud di negara ini sejak tiga dekad lalu itu diilhamkan oleh pasangan suami isteri. Dengan konsep kepala kapal di setiap restorannya menjadikan The Ship restoran yang unggul dengan identitinya yang tersendiri.
The Ship cawangan Bukit Bintang telah dibuka sejak tahun 1991.
Pengurusnya, Steven Yap berkata, stik yang dihidangkan di The Ship sungguh lazat dan unik.
"Ini kerana kebanyakan steak house di Kuala Lumpur adalah 100 peratus Barat iaitu dengan mencampurkan arak, namun di The Ship tidak.
"Ramuan dan masakannya mengikut cita rasa orang Malaysia, jadi ia mudah diterima oleh masyarakat di sini," jelasnya.
Menurutnya, daging di The Ship pula diimport khas dari Australia, namun ia telah melalui proses sembelihan halal dari Jabatan Agama Islam Australia.
Bagaimanapun, The Ship tidak memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana premisnya masih menghidangkan minuman keras untuk orang bukan Islam.
Berkongsi rahsia mengenai stik, Steven memberitahu, orang yang tidak begitu pandai atau baru mencuba makan stik disarankan mengambil stik daging yang tidak mempunyai lemak.
"Ia lebih mudah dimakan, biasanya kami mencadangkan bahagian rib eye, sirloin. Bahagian ini mengandungi lemak yang minimum namun tetap ada jusnya.
"Bagi yang tidak begitu mahir tentang masakan stik, ia biasanya dimasak dan dihidang dalam beberapa tahap peratusan masak.
"Welldone biasanya masak hingga 100 peratus, medium well pula masak melebihi 25 peratus, medium rare pada tahap 25 peratus dan rare pula ialah pada lima hingga 10 peratus,'' jelasnya.
Tambah beliau, tahap masak ini juga boleh dilihat melalui darah yang keluar pada bahagian dalam daging selepas dimasak. Bagi mereka yang biasa makan stik lebih cenderung untuk memilih yang tidak dimasak sepenuhnya.
"Pada pemerhatian saya, masyarakat Malaysia lebih gemar memilih stik yang dimasak sebanyak 75 peratus kerana kandungan darah yang terdapat di dalamnya tidak begitu banyak.
"Stik yang dimasak sepenuhnya sebenarnya mengurangkan kandungan jus yang terdapat di dalamnya. Seperti sayur, daging yang terlampau masak akan turut menghilangkan zatnya," ujar Steven yang telah 10 tahun berkhidmat dalam industri makanan dan minuman.
Selain stik, The Ship turut menyediakan beberapa menu masakan Oriental seperti nasi goreng dan sebagainya.
Sesiapa yang berhajat ke The Ship selepas ini bolehlah cuba memesan menu seperti Roasted Rack of Lamb, US Rib Eye Steak, Lamb Chop atau Black Pepper Steak.
Untuk pencuci mulut pula, pesanlah banana ship, kek aiskrim atau parfait tiramisu dan crepe suzette.
Keunggulan jenama The Ship selama 38 tahun di Malaysia terbukti apabila pernah dianugerahkan The Malaysia Book of Records untuk kategori Restoran Bertema Paling Lama Bertahan, Restoran Makanan Barat Paling Popular 2005 oleh majalah KL Lifestlye manakala The Best Restaurant Steak House Lima Bintang oleh majalah Family Ria-Disember 2005.
0

Salim Shaari bersama sebahagian hidangan popular di Restoran Cawan.
PEMINAT tegar asam pedas harus mencuba sajian makan tengah hari asam pedas di Restoran Cawan ini.
Ikan pedas resipi dari Melaka ini bertambah enak hasil tangan ketua chefnya, Hafsah Majid.
Hafsah yang sememangnya mewarisi bakat memasak dari kedua orang tuanya, memilih beberapa jenis ikan seperti terubuk, baung dan sembilang laut untuk asam pedasnya.
Malah ada kalanya dia turut mengikut permintaan pelanggan terutama yang membuat tempahan menerusi perkhidmatan kateringnya.
Terletak di kawasan rumah kedai Selayang Jaya, Selayang, Selangor, Restoran Cawan merupakan satu-satunya restoran yang menyediakan sajian Melayu di kawasan berkenaan.
Bermula dari hidangan pagi seperti nasi lemak, bihun, mi, lontong dengan lauk pauk pilihan, tumpuan pelanggan makin menjadi-jadi ketika waktu makan tengah hari.
Pengarah Urusan Restoran Cawan, Salim Shaari berkata, pelanggan yang datang ke sini tidak mengira bangsa.
Pernah ada seorang pelanggan berbangsa Cina merungut-rungut kerana asam pedas ikan terubuk habis cepat.
"Makanan tengahari terutama asam pedas memang cepat licin. "Asam pedas memang menjadi kegemaran pelbagai bangsa. Selain asam pedas, ikan keli goreng bercili juga menjadi tumpuan pelanggan.
"Memang kebanyakan yang datang adalah pelanggan tetap sebab kami menawarkan kualiti dan kesedapan makanan dalam harga yang berpatutan.
"Walau harga barangan mentah naik, kami tidak menaikkan harga makanan yang dijual," jelas Salim yang membuka restoran ini sejak Februari tahun ini.
Menurut Salim, sebelah malamnya pula mereka menyediakan tomyam dan pelanggan juga dapat merasa kesedapan mi kari dan rojak buah yang dibuat dengan cara tradisional.
Selain menikmati makanan yang membuka selera, pelanggan harus menikmati air teh tiga lapis yang memang sedap dan penuh krim.
Selain asam pedas, Salim juga mencadangkan menu mesti cuba seperti ikan bakar berempah, rendang ayam ala Minang Cawan dan ikan tenggiri kari mamak Melayu.
0

DUA sahabat karib (kiri), Ahmad Azam dan Amal Faiz yang mengusahakan stimbot ala santai Melayu, Nakhoda Malaya.

SELALUNYA stimbot direbus dalam sup ayam atau tomyam, namun di Nakhoda Malaya, restoran stim bot yang terletak di NeoCyber, Cyberjaya, ini menambah satu lagi sup iaitu asam pedas.
Justeru peminat tegar asam pedas dan stimbot harus mencuba sendiri hidangan kreatif ini.
Pemiliknya, dua sahabat berkelulusan dari Universiti Multimedia (MMU), Amal Faiz Baharudin, 26, dan Ahmad Azam Ab Rashid, 27, yang masing-masing merupakan peminat tegar stim bot.
"Kami berkawan sejak dari universiti dan memang sangat suka makan stim bot.
"Pendek kata semua restoran stim bot yang ada di Malaysia, termasuk yang datang dari Korea semua kami dah rasa.
"Malah sebelum membuka Nakhoda Malaya ini kami mengambil masa selama setahun semata-mata untuk melakukan R&D (penyelidikan dan pembangunan) sup dan sos. Setelah mengenalpasti jenis stimbot dan sup serta sos yang sedap maka barulah kami membuka restoran ini kepada umum.
0

Restoran yang diasaskan legenda rock Malaysia, Amy Search bersama isterinya, Norhasniza Hassan atau Norish itu sememangnya semakin popular dewasa ini.
Memilih makanan laut dengan resipi masakan Cina sebagai konsep utama, Restoran Cheng Ho menjadi destinasi paling ideal buat penggemar makanan Cina tersebut terutama yang beragama Islam.
Menurut Norish, permintaan tinggi daripada orang Islam untuk mendapatkan masakan Cina yang halal membuatkan dia dan Amy memilih konsep ini.
"Di sini mereka boleh menikmati lebih daripada 148 pilihan sajian tanpa was-was," jelas Norish ketika ditemui ketika majlis memperkenalkan menu baru di restorannya, baru-baru ini.
Norish mengulas, pertambahan 12 menu baru di Cheng Ho adalah bersempena dengan pengenalan juga sambutan tahun 2009.
"Kini pengunjung boleh menikmati menu baru seperti Deep Fried Fish Zheng He Style, Phet Sat Stim Fish, Fresh Milk Prawns, Kerabu Squid Cheng Ho Style, Black Mushroom with Fish Maw, Crab Meat Tofu Soup dan Stim Chicken with Herbs," jelasnya yang menggunakan khidmat tiga chef tempatan bagi mengendalikan restoran miliknya itu.
Tiga chef tersebut iaitu, Chef Mohd Hanif Zakaria, Chef Fairuz dan Chef Jaffar 'menuntut' ilmu masakan daripada seorang pakar masakan Cina Muslim, di samping pengalaman masing-masing dalam bidang penyediaan makanan.
Norish berkata, selain menu yang baru diperkenalkan, Restoran Cheng Ho terkenal dengan masakan seperti Chicken Mango, Crab Salted Egg dan Nyonya Style Steam Fish.
Sempena Tahun Baru Cina yang sedang dirai sekarang, restoran tersebut menyediakan pakej tahun baru iaitu Yee Sang. Ia boleh dinikmati dengan harga RM25 seorang dalam kumpulan lima hingga enam orang dan RM50 untuk 10 hingga 12 orang.
"Istimewanya Yee Sang di Cheng Ho ialah kami menggunakan minyak zaitun yang didapatkan khas dari negara Palestin. Selain untuk perniagaan, kami berniat membantu serta meringankan kesengsaraan yang dihadapi negara itu. Selain minyak zaitun, madu dalam Yee Sang itu juga diimport dari Yaman yang diyakini suci dan halal 100 peratus," jelas ibu kepada dua cahaya mata ini.
Kini Restoran Cheng Ho mempunyai lebih daripada 15 pelayan untuk melayani kehendak pengunjung di samping menjamu selera di sebuah restoran yang indah dan selesa.
Selain masakan yang lazat, pengunjung pasti tertarik dengan dekorasi restoran ini.
Berlatar belakangkan gambar-gambar masyarakat Cina Muslim dan tulisan khat, kesemua hasil seni yang menghiasi dinding-dinding restoran adalah hasil ilustrasi terakhir sahabat baik Amy iaitu Allahyarham Jalil Ngah.
Restoran ini juga boleh memuatkan seramai 150 hingga 160 orang dalam satu masa. Ruang dalam restoran dibahagi dua bahagian khas iaitu ruang merokok dan sebaliknya.
"Insya-Allah tahun ini, kami akan membuka cawangan di Johor Bharu. Kini kami sedang mencari lokasi yang sesuai kerana ia seharusnya mudah dikunjungi pelancong dari Singapura juga," tutur Norish penuh semangat.
Untuk menghargai pengunjung yang memberi sokongan selama ini, restoran Cheng Ho juga mengeluarkan produk cenderahati khusus untuk pengunjung dan peminat Amy Search. Cenderahati seperti mug, baju T, payung, topi dan sebagainya boleh didapati di sana. Untuk maklumat lanjut serta tempahan, boleh hubungi 03-41496094.
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
0

NAZMIZANFAZILAH Abdullah (tiga dari kiri) bersama kakitangan Restoran Rumah Thai bergambar di hadapan pintu masuk premis yang terletak di Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur.

“KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” pepatah ini cukup tepat menggambarkan persamaan yang berlaku antara seorang anak dengan ibu atau bapanya.


Begitu juga yang terjadi dalam kehidupan Nazmizanfazilah Abdullah, pemilik Restoran Rumah Thai yang terletak di Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur.
Pada awalnya dia tidak menduga, malah tidak pernah bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah ayahnya yang memiliki sebuah gerai makanan ala-Thai.
“Sebagai anak sulung, saya menyaksikan kesusahan bapa menanggung kami sekeluarga dengan hanya berniaga di gerai makanan.
“Keperitan yang dilaluinya menjadikan saya sendiri tidak berminat langsung untuk membuka perniagaan berasaskan makanan,” ujarnya yang lebih selesa dengan panggilan Nazmizan.
Justeru, selepas berjaya memperoleh ijazah perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pada tahun 2000, Nazmizan memilih untuk makan gaji sebagai juruaudit di sebuah firma akauntan.
Namun, ketentuan Allah tiada siapa dapat menduga. Selama tiga tahun bertugas mengaudit syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan, minat beliau datang secara mendadak.
“Waktu itu, saya melihat bidang perniagaan makanan ini mempunyai prospek yang baik jika dibuat dengan betul. Di samping itu, niat utama saya untuk membantu bapa yang juga menjalankan perniagaan membekalkan bahan mentah dan kering,” jelas ibu kepada dua cahaya mata, Daniel Hakim, 8. dan Daniel Hafidz, 5.
Bagi Nazmizan, 33, selain ingin memiliki perniagaan sendiri, paling penting dapat menjana satu jaringan perniagaan untuk bapanya yang menjalankan perniagaan pembekalan.
Katanya, Restoran Rumah Thai diwujudkan pada usianya mencecah 29 tahun dan kini sudah hampir lima tahun beroperasi.
“Sememangnya Restoran Rumah Thai ini dizahirkan menerusi inspirasi daripada gerai bapa saya dan istimewanya, ia menggunakan resipi tomyam yang direka oleh bapa saya sendiri,” kata nya..
Pepatah Melayu berbunyi, “Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” begitulah adat berniaga, jika tidak berani mengambil risiko pasti kecundang dengan rintangan yang mendatang.
Nazmizan mengakui cabaran demi cabaran yang dihadapi menjadikan beliau semakin matang dan dekat dengan Allah.
“Bagi peniaga seperti saya semangat perlu kuat, mesti fokus dan sentiasa berfikiran kritis demi menaikkan lagi perniagaan yang dibina,” jelas wanita kelahiran Kelantan ini.
Restoran Rumah Thai menawarkan pilihan masakan Thailand yang enak dan pelbagai. Antara menu mesti cuba di restoran tersebut termasuk ayam pandan panggang, kerapu tiga rasa, tomyam Songkhla dan udang mentega.
“Kami juga menawarkan pakej hidangan untuk keluarga dan kumpulan. Harga yang ditawarkan bagi setiap menu amat berpatutan,” katanya.
Kini restoran yang dibuka dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam itu, telah mengorak langkah dengan menawarkan perkhidmatan katering di bawah nama Seri Saji Catering yang menyediakan aneka masakan Melayu istimewa untuk majlis perkahwinan, seminar, rumah terbuka dan apa jua majlis.
Ciri-ciri peniaga dan usahawan perlulah berfikiran kritis dan inovatif, justeru, Nazmizan turut menjual pati tomyam resipi turun-menurun bapanya, kuah rojak buatan sendiri yang akan dikomersialkan dengan meluas menerusi bantuan sokongan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
0

Image result for chocolate
Coklat mengandungi flavonoid yang bertindak sebagai antioksida.
SUAMI, bapa, abang atau adik lelaki anda penggemar coklat? Jangan risau, coklat memberikan manfaat buat lelaki yang 'mencintainya'.
Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di Sweden menunjukkan lelaki yang kerap makan coklat kurang risiko diserang strok.
Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam satu jurnal neurologi, yang mana ia membabitkan kajian lebih sedekad terhadap lebih 37,000 lelaki yang gemar makan coklat.
Sukatan coklat yang dimakan lelaki terbabit dalam kajian itu adalah bersamaan dengan satu pertiga cawan yang dipenuhi dengan cip coklat.
Dengan pengambilan kerap padaan sukatan sebanyak itu telah mengurangkan 17 peratus risiko diserang strok berbanding lelaki yang langsung tidak makan coklat.
Ini bukanlah kajian pertama yang menyatakan manfaat coklat pada kesihatan kardiovaskular manusia.
Sebelum ini banyak kajian lain menunjukkan penggemar coklat mempunyai risiko rendah mendapat penyakit berkaitan sistem tersebut seperti penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi.
"Apa yang mengurangkan risiko penggemar coklat ini kepada penyakit strok adalah kandungan flavonoid yang terdapat di dalamnya," kata Susanna Larsson, penyelidik dari Institut Karolinska di Stockholm yang juga ketua kepada penyelidikan terbabit.
Larsson turut melakukan kajian yang sama terhadap golongan wanita tahun lalu dan turut menemukan hasil yang sama.
Menurut kajian tersebut, flavonoid adalah satu kompaun yang bertindak sebagai antioksida.
Ia mempunyai kesan yang amat baik terhadap tekanan darah, kolesterol dan fungsi saluran darah.
Dalam kajian tersebut, lelaki Sweden berusia lingkungan 49 hingga 75 tahun dilaporkan makan seperti biasa dan juga makan coklat sebagai makanan sampingan mereka.
Selepas 10 tahun tempoh pemantauan, hanya 1,995 daripada jumlah keseluruhan lelaki yang terbabit dalam kajian tersebut mengalami serangan strok buat pertama kali.
Kumpulan penyelidik Larsson itu juga menyenaraikan faktor-faktor lain yang terlibat dalam kajian mereka seperti berat badan, cara pemakanan dan sama ada mereka mempunyai tekanan darah tinggi atau sebaliknya.
"Walaupun faktor yang dinyatakan di atas telah diambil kira tetapi lelaki yang makan banyak coklat mendapat pengurangan risiko sebanyak 17 peratus diserang strok," jelasnya.
Sementara itu, seorang penyelidik, Richard Libman, yang juga Naib Pengerusi Jabatan Neurologi di Institut Cushing Neuroscience Manhasset, New York, Amerika Syarikat berkata, flavanoid bukan saja terdapat dalam coklat malah makanan lain seperti epal, brokoli, soya, teh dan kekacang.
"Begitupun dengan fakta yang didapati di atas bukan bermakna orang ramai boleh makan coklat sesuka hati.
"Fikirkan juga kesan negatif akibat pengambilan coklat tersebut seperti obesiti dan diabetes jenis 2," tegasnya.
0



Balang kaca dan botol-botol lama menjadi hiasan yang menarik.


NAMANYA dipetik daripada sebuah jalan yang terletak di bandar Melaka. Jalan Tengkera atau dulunya dieja sebagai Tranquerah, bermaksud sebuah kubu pertahanan yang damai dalam bahasa Portugis . 

Sedamai berada di dalamnya, dekorasi restoran ini turut mengambil inspirasi daripada apa yang terdapat di sepanjang jalan tersebut.
Idea itu diterjemahkan dengan penuh kreatif oleh pemiliknya, Alan Yun, pelakon dan model popular tanah air.

Daripada pemilihan perabot hingga kepada hiasan-hiasan kecil lama seperti botol, kalendar, bingkai gambar dan banyak lagi segalanya mengembalikan nostalgia suasana Jalan Tengkera. 
"Saya turut masukkan unsur-unsur budaya masyarakat Baba dan Nyonya Melaka. Sebagai contoh, siling ini sebenarnya adalah pintu rumah tradisional Baba dan Nyonya yang terdapat di sepanjang jalan tersebut.

"Bukan itu sahaja, suis elektrik ini juga seperti yang terdapat pada zaman dahulu," ujarnya yang ditemui di restorannya di Red Carpet Avenue, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Menariknya melalui restoran The Tranquerah itu, Alan mengenengahkan resipi tradisi Baba dan Nyonya 100 peratus daripada chef terkenal, Florence Tan.

Kebetulan Florence yang berketurunan Baba dan Nyonya juga berasal dari Jalan Tengkera.
"Setiap masakan di sini tidak mengandungi perisa tambah sebaliknya bagi menambah keenakan, chef Florence menggunakan lebih rempah-ratus.

"Ada komen yang kami peroleh daripada pelanggan mengatakan masakan di sini seakan makan di rumah, malah lebih sedap lagi," kata Alan.

Menurutnya, antara menu mesti cuba di sini ialah ayam buah keluak yang cukup unik dari segi penyediaannya.

Ini kerana bagi yang kurang mahir tentang cara memasak buah keluak ia boleh menyebabkan keracunan. 

"Untuk menyediakan ayam buah keluak, kita hanya menggunakan buah yang elok saja kerana jika ada walau sebiji pun yang rosak, seluruh periuk terpaksa dibuang. 

"Apa pun rasa masakan ini unik dan sedap, lain daripada yang lain," katanya jelas Alan yang kini sedang sibuk dengan penggambaran filem arahan Shuhaimi Baba. 

Selain itu pengunjung juga tidak harus melepaskan peluang menjamah sotong goreng rangup, terung goreng sambal, kangkung lemak keledek, ikan cencaru sumbat, udang masak petai dan sebagainya yang memang menyelerakan apabila dimakan bersama nasi panas.

Untuk pemanis mulut pula, The Tranquerah menyediakan bubur cha-cha dan cendol yang menggunakan gula Melaka asli bagi menyerlahkan rasanya. 

Menurut Alan, kesemua sajian disediakan oleh dua chef berpengalaman yang dibantu empat pembantu dapur yang akan memastikan pelanggan tidak menunggu lama untuk menikmati hidangan diingini.  The Tranquerah dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
0

MOHD. Basri Abdul Aziz (kanan) dan Normazilla Chik Omar bersama sajian istimewa di Restoran Chipz.
PEMILIHAN nama Citra Aroma oleh pemilik restoran ini memang mampu menarik perhatian pelanggan. Mahu membuktikan kepelbagaian aroma yang menyelerakan di restorannya membuatkan Nur Azrin Mohd. Rashid berusaha menghidangkan pelbagai jenis juadah masakan untuk pelanggannya.
Bagaimanapun, restoran yang mengambil tempat di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, ini lebih mengkhusus kepada masakan dari Negeri Sembilan dan Melaka.
Ini kerana, menurut Nur Azrin masakan dari dua negeri ini mudah diterima dan mendapat sambutan masyarakat Malaysia tidak mengira bangsa.
"Menu istimewa kami ialah asam pedas yang kami sediakan mengikut resipi asli Melaka. Sejak restoran ini dibuka tujuh bulan lalu, saya dapati pelanggan amat meminati hidangan ini terutama untuk makan tengahari," jelasnya ketika ditemui di premisnya.
Nur Azrin yang bekerjasama dengan kakaknya, Norazwa menitikberatkan kepuasan pelanggan.
Justeru, setiap pelanggan yang datang dialu-alukan untuk memberi komen tentang mutu dan kesedapan hidangan yang mereka nikmati.
"Konsep ini secara tidak langsung memberitahu kami apa yang kebanyakan pelanggan gemari. Dari situ para chef akan dapat menyesuaikan resipi dengan cita rasa pelanggan," katanya yang mempunyai tukang masak berpengalaman lebih 20 tahun dalam penyediaan makanan.
Demi meluaskan lagi pasaran perkhidmatan penyediaan makanan, Nur Azrin telah merancang untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah.
"Saya lihat kebanyakan ibu bapa kini bekerja, jadi saya bercadang menyediakan perkhidmatan menghantar makanan ke rumah dan mereka tidak perlu ke kedai untuk membeli makanan," jelas Nur Azrin lagi.
Gerai di Citra Aroma
Kesibukan dan gaya hidup yang mengejar masa juga menyebabkan kebanyakan pasangan berkeluarga selesa membungkus makanan untuk dibawa pulang selepas waktu kerja.
Menyedari hakikat itu maka, Nur Azrin telah bekerjasama dengan bekas chef di sebuah hotel terkemuka untuk memenuhi ruang hadapan di restorannya dengan konsep gerai.
Pemilihan Noormah Sirone, 51, yang mempunyai pengalaman lebih 12 tahun sebagai chef untuk membuka gerai khas di bahagian hadapan restoran Citra Aroma telah membeli lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
"Saya hanya menyediakan empat menu sahaja, iaitu nasi ayam, bihun sup utara, mi rebus dan laksa utara," ujar wanita kelahiran Bagan Serai, Perak ini.
Menurut Noormah, gerainya mendapat sambutan terutama daripada pasangan yang ingin membungkus makanan selepas waktu kerja. Selain keenakannya, ia juga mudah dan cepat disediakan.
Restoran berjiran
Sementara itu di Restoran Chipz, namanya sahaja sudah cukup untuk menjelaskan jenis masakan yang disajikan.
Terletak bersebelahan dengan Citra Aroma, ia umpama pelengkap dengan sajian masakan-masakan Barat dikendali oleh Chef Mohd. Basri Abdul Aziz, 26.
Jejaka kelahiran Kelantan ini memiliki diploma penyediaan makanan dari Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP).
Dengan persekitaran selesa dan dekorasi indah ala Barat yang diilhamkan oleh pereka hiasan dalaman, Noraini Alias, membangkitkan suasana eksklusif lagi mendamaikan.
Mohd. Basri yang ditemui dalam sesi mencuba makanan berkata, restoran ini mempunyai dua suasana.
"Pelanggan boleh memilih untuk menikmati makanan dalam hawa dingin atau di luar," jelasnya.
Menurut Mohd. Basri, antara menu yang mendapat perhatian pelanggan ialah sup cendawan, sirloin steak, spaghetti bolognaise, fish and chip dan sebagainya.
"Kami juga menyediakan minuman istimewa iaitu jus buah naga Bagi pelanggan yang ingin mencuba silalah berkunjung ke Restoran Chipz," ujarnya.
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
0


BAYANGKAN sajian indah berwarna-warni dan dihias dengan hiasan kreatif terhidang di depan anda. Pastinya ia akan membuatkan anda kecur dan tak sabar untuk menikmati hidangan tersebut.
Dengan rasa yang sungguh unik, makanan Jepun merupakan antara sajian yang akan membuatkan anda berperasaan demikian.
Hotel Renaissance yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur kini memperkenalkan tujuh jenis hidangan sushi khusus bagi mereka yang menggemari sajian dari negara Matahari Terbit itu.
Festival yang dinamakan Sensous Sushi itu bermula dari 6 hingga 25 Mac bertempat di Sagano Japanese Restaurant.
Penolong pengurus perhubungan awam Hotel Renaissance, Nor Aizan Abdul Hamid berkata, sajian sushi itu akan disediakan oleh Chef Azri Che Ishak yang berpengalaman dalam bidang penyediaan makanan sejak tahun 1992.
Chef Azri ketika ditemu bual berkata, sajian yang disediakan itu menjurus kepada cita rasa rakyat Malaysia.
“Kebanyakan hidangan sushi untuk festival ini dibuat dengan cita rasa tempatan dan dimasak sepenuhnya,” katanya.
Berpandukan resipi daripada Chef Norio Nomoto, Chef Azri menghasilkan daging salai Kobe (seared Kobe beef), stek berbentuk sate (Mixed sushi skewer), salad lautan pasifik, twister roll, sotong sumbat sushi, limpa itik Perancis (Foie gras) dan The Gourmet Roll.
“Pada harga yang berpatutan bermula dari RM15 hingga RM50, pelanggan pasti berpuas hati dengan kelazatan hidangan Jepun yang unik ini,” ujar Chef Azri.
Sagano Japanese Restaurant bukan sahaja menyediakan hidangan berbentuk bufet malah juga ala carte.
Restoran yang boleh memuatkan seramai 156 tetamu pada satu-satu masa itu juga menyediakan beberapa bilik khas seperti Tatami, Teppan dan bilik makan bagi mereka yang inginkan suasana privasi.
Ia dibuka setiap hari pada pukul 12.00 tengah hari hingga 11.00 malam. Untuk tempahan sila hubungi 03-2162 2233.
Oleh NOOR FAZRINA NOOR KAMAL
0

Friday, 12 May 2017


RAMBUT juga memerlukan nutrien tambahan untuk menjadikannya sihat. - Gambar hiasan
PERUMPAMAAN Inggeris ada menyebut, anda adalah apa yang anda makan (you are what you eat).
Ia bukan saja merujuk kepada bentuk tubuh-badan, tapi juga rambut yang anda miliki. Sebagaimana tubuh menjadi obesiti akibat pengambilan makanan berlemak tinggi, rambut juga boleh menjadi mudarat menerusi elemen yang sama.
Pakar pemakanan berkaitan penjagaan rambut, Fanny Ling berkata, diet tinggi lemak sangat tidak baik untuk rambut dan kulit kepala.
Malah katanya, pemakanan berlemak tinggi menjadi punca kulit kepala berminyak, mudah mendapat jangkitan dan kelemumur, mengganggu imbangan hormon, menyebabkan kegemukan serta meningkatkan risiko banyak penyakit kardiovaskular.
Tambahnya, makanan manis juga tidak baik kerana boleh menyebabkan kelemumur dan kulit kepala menjadi sensitif.
Ia juga melupuskan vitamin B dalam badan dan menyebabkan kekurangan kuprum yang mengakibatkan rambut beruban.
Fanny berkata, makanan manis bergula tinggi juga mengurangkan biotin yang akan merencatkan pertumbuhan rambut sihat dan mengurangkan keamatan warna rambut.
"Dalam musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina (TBC) yang sedang disambut sekarang ini, keinginan untuk menikmati pelbagai juadah memang sukar untuk dikawal.
"Kita mesti ingat bahawa kebanyakan makanan kegemaran musim perayaan ini mengandungi banyak lemak dan gula, yang boleh memudaratkan badan dan rambut.
"Makanan seperti sosej, serunding daging, daging panggang dan nasi pulut adalah sajian utama rumah terbuka TBC. Semua makanan ini mengandungi banyak lemak," katanya.
Begitupun Fanny berkata, bukan bermakna tidak boleh langsung menikmati makanan kegemaran tersebut, tetapi ambil secara sederhana.
Sebagai contoh katanya, lapan keping biskut mengandungi 555 kalori (kcal) dan 50 peratus lemak, ini bersamaan dengan lapan sudu teh minyak.
Untuk membakar lemak sebanyak itu, seseorang perlu berjalan selama 148 minit.
Sebaliknya ujar Fanny, cari makanan gantian yang lebih sihat seperti empat keping kuih kapit yang hanya mengandungi 135 kcal dengan enam peratus lemak atau yee sang (60g) yang hanya membekalkan 130 kcal dan enam peratus lemak.
"Untuk membekalkan nutrien pada rambut, anda memerlukan kalori secukupnya. Bergantung pada keperluan tenaga individu, seorang lelaki memerlukan purata 2.500 kcal sehari manakala seorang wanita memerlukan 2,000 kcal sehari.
" Bagi memastikan diet yang baik untuk rambut, makanan pada musim TBC atau pada bila-bila masa hendaklah mengandungi protein seperti ikan, telur dan susu yang membekalkan nutrien untuk rambut.
"Sayuran hijau gelap kaya dengan vitamin A dan beta karotena penting untuk kekalkan kesihatan tisu kulit kepala.
"Rambut memerlukan vitamin B yang meningkatkan metabolisme sel kulit kepala, pastikan anda mengambil lebih susu, bijian penuh dan sayuran hijau," kata Fanny.
Selain itu beliau berkata, seseorang juga boleh mendapatkan vitamin C daripada buah-buahan dan sayur-sayuran yang merupakan anti oksida semula jadi dan memastikan pembentukan kolagen.
Zink juga penting kepada rambut kerana kekurangan zink boleh menyebabkan rambut kering dan kulit kepala berminyak. Dapatkan zink daripada daging, makanan laut, telur dan susu.
Mungkin ramai yang tidak tahu kuprum penting untuk mengekalkan warna dan struktur rambut dan bijian penuh, tiram, kacang dan kekacang kaya dengan kuprum.
Selain itu makan aprikot, brokoli dan kacang panggang untuk membekalkan darah dan oksigen kepada rambut.
Iodin pula yang diambil daripada makanan laut dan sayur-sayuran membantu mengawal hormon tiroid, dan akhir sekali tentulah minum banyak air untuk mengekalkan kelembapan rambut dan kulit kepala.
"Makan sekurang-kurangnya lima hidangan sayuran dan buah-buahan warna-warni sehari yang membentuk sebahagian penting daripada diet dan gaya hidup yang sihat setiap hari.
" Sayur dan buah membekalkan pelbagai vitamin, zat galian, serat dan fitokimia yang diperlukan oleh badan anda untuk mengekalkan kesihatan dan melindungi daripada kesan penuaan," kata Fanny.
0


SESETENGAH orang memang tidak lokek dalam hal berkaitan makanan. Mereka sanggup berbelanja besar untuk makan di restoran-restoran ternama yang hidangannya memang diyakini enak dan berkhasiat.
Apatah lagi jika restoran tersebut sememangnya telah mendapat pengiktirafan sebagaimana di Manhattan Fish Market (MEM) yang baru-baru ini menerima anugerah berprestij Brandlaureate 2009 di bawah kategori Penyediaan Makanan Laut Barat dan Minuman Terbaik.
Anugerah tersebut sudah pastinya bakal menjadi tarikan kepada pengunjung yang masih tercari-cari 'tempat makan' yang bukan saja enak bahkan berkualiti.
Ketua Pegawai Pemasaran MFM, Jason Lim berkata, anugerah tersebut merupakan yang kedua diraih kerana sebelum ini MFM pernah juga menerima Anugerah dari Perbadanan Kentang Amerika Syarikat kerana menghidangkan kentang goreng yang berkualiti.
Katanya, MFM sememangnya mengutamakan nilai dalam penyediaan makanan dengan hanya menggunakan ikan segar yang diimport dan menghidangkan dengan cara memanggang, goreng atau membakar tanpa minyak dengan cara tersendiri.
"Pendek kata kami di MFM menyediakan makanan yang segar lagi menyihatkan. Ikan hidangan kami hanya akan dipotong dan dimasak sebaik selepas mendapat pesanan daripada pelanggan. Seba itulah kita boleh lihat saiz dan potongan ikan yang berbeza-beza dalam setiap hidangan, " jelasnya ketika ditemui pada majlis mencuba hidangan di Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebutlah jenis ikan import berkualiti yang mana diinginkan semuanya ada di sini termasuk salmon, todak, Dory dan banyak lagi.
Lebih istimewa, setiap hidangan ikan akan ditambah dengan tiga jenis sos untuk menambah selera.
"Dengan anugerah yang baru diterima ini, kami ingin memperkenalkan menu promosi The Manhattan Fish N Chips yang mengandungi dua keping ikan Pasifik Dory untuk atau ikan todak.
"Selain itu, pelanggan boleh memilih sos oren marmalade, atau sos bawang putih untuk melengkapi rasa," katanya.
Lim menambah, apabila pelanggan memesan set tersebut, mereka berpeluang untuk menambah hidangan sama ada sotong goreng, salad kubis dan kismis atau udang goreng tepung dengan harga lingkungan RM3.50 hingga RM3.90 untuk setiap satu hidangan.
"Pelanggan juga boleh menambah minuman dengan isian semula pada harga RM5.90 sahaja. Kami mencadangkan agar anda mencuba minuman Trpocal Breeze kami yang sering menjadi pilihan ramai pelanggan," ujarnya.
Lim berkata, promosi ini akan berlangsung dalam jangka masa yang terhad.
"Dalam tempoh promosi ini juga pelayan kami akan memakai selempang tentang kemenangan anugerah Brandlaureate dan bagi pelanggan yang memesan set, kami ada kejutan dari segi hidangan buat mereka," jelas Lim.

0

Author