Saturday, 13 May 2017

Keistimewaan Stik di The Ship



us Rib Eye Steak, pasti memberi kepuasan kepada penggemarnya.
TERINGIN hendak menikmati stik dalam suasana seakan sebuah kapal lama? Ditambah pula dengan layanan kelasi yang lengkap berpakaian seragam, pastinya memberikan satu perasaan sentimental bagi pelanggan yang berkunjung. Itulah The Ship, restoran masakan Barat yang telah 38 tahun bertapak di negara ini. Dengan tagline 'The Best Steak In Town', The Ship menghidangkan kepada anda rangkaian stik istimewa.
Restoran yang telah wujud di negara ini sejak tiga dekad lalu itu diilhamkan oleh pasangan suami isteri. Dengan konsep kepala kapal di setiap restorannya menjadikan The Ship restoran yang unggul dengan identitinya yang tersendiri.
The Ship cawangan Bukit Bintang telah dibuka sejak tahun 1991.
Pengurusnya, Steven Yap berkata, stik yang dihidangkan di The Ship sungguh lazat dan unik.
"Ini kerana kebanyakan steak house di Kuala Lumpur adalah 100 peratus Barat iaitu dengan mencampurkan arak, namun di The Ship tidak.
"Ramuan dan masakannya mengikut cita rasa orang Malaysia, jadi ia mudah diterima oleh masyarakat di sini," jelasnya.
Menurutnya, daging di The Ship pula diimport khas dari Australia, namun ia telah melalui proses sembelihan halal dari Jabatan Agama Islam Australia.
Bagaimanapun, The Ship tidak memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana premisnya masih menghidangkan minuman keras untuk orang bukan Islam.
Berkongsi rahsia mengenai stik, Steven memberitahu, orang yang tidak begitu pandai atau baru mencuba makan stik disarankan mengambil stik daging yang tidak mempunyai lemak.
"Ia lebih mudah dimakan, biasanya kami mencadangkan bahagian rib eye, sirloin. Bahagian ini mengandungi lemak yang minimum namun tetap ada jusnya.
"Bagi yang tidak begitu mahir tentang masakan stik, ia biasanya dimasak dan dihidang dalam beberapa tahap peratusan masak.
"Welldone biasanya masak hingga 100 peratus, medium well pula masak melebihi 25 peratus, medium rare pada tahap 25 peratus dan rare pula ialah pada lima hingga 10 peratus,'' jelasnya.
Tambah beliau, tahap masak ini juga boleh dilihat melalui darah yang keluar pada bahagian dalam daging selepas dimasak. Bagi mereka yang biasa makan stik lebih cenderung untuk memilih yang tidak dimasak sepenuhnya.
"Pada pemerhatian saya, masyarakat Malaysia lebih gemar memilih stik yang dimasak sebanyak 75 peratus kerana kandungan darah yang terdapat di dalamnya tidak begitu banyak.
"Stik yang dimasak sepenuhnya sebenarnya mengurangkan kandungan jus yang terdapat di dalamnya. Seperti sayur, daging yang terlampau masak akan turut menghilangkan zatnya," ujar Steven yang telah 10 tahun berkhidmat dalam industri makanan dan minuman.
Selain stik, The Ship turut menyediakan beberapa menu masakan Oriental seperti nasi goreng dan sebagainya.
Sesiapa yang berhajat ke The Ship selepas ini bolehlah cuba memesan menu seperti Roasted Rack of Lamb, US Rib Eye Steak, Lamb Chop atau Black Pepper Steak.
Untuk pencuci mulut pula, pesanlah banana ship, kek aiskrim atau parfait tiramisu dan crepe suzette.
Keunggulan jenama The Ship selama 38 tahun di Malaysia terbukti apabila pernah dianugerahkan The Malaysia Book of Records untuk kategori Restoran Bertema Paling Lama Bertahan, Restoran Makanan Barat Paling Popular 2005 oleh majalah KL Lifestlye manakala The Best Restaurant Steak House Lima Bintang oleh majalah Family Ria-Disember 2005.

No comments:

Post a Comment

Author