Dengan rasa yang sungguh unik, makanan Jepun merupakan antara sajian yang akan membuatkan anda berperasaan demikian.
Hotel Renaissance yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur kini memperkenalkan tujuh jenis hidangan sushi khusus bagi mereka yang menggemari sajian dari negara Matahari Terbit itu.
Festival yang dinamakan Sensous Sushi itu bermula dari 6 hingga 25 Mac bertempat di Sagano Japanese Restaurant.
Penolong pengurus perhubungan awam Hotel Renaissance, Nor Aizan Abdul Hamid berkata, sajian sushi itu akan disediakan oleh Chef Azri Che Ishak yang berpengalaman dalam bidang penyediaan makanan sejak tahun 1992.
Chef Azri ketika ditemu bual berkata, sajian yang disediakan itu menjurus kepada cita rasa rakyat Malaysia.
Kebanyakan hidangan sushi untuk festival ini dibuat dengan cita rasa tempatan dan dimasak sepenuhnya, katanya.
Berpandukan resipi daripada Chef Norio Nomoto, Chef Azri menghasilkan daging salai Kobe (seared Kobe beef), stek berbentuk sate (Mixed sushi skewer), salad lautan pasifik, twister roll, sotong sumbat sushi, limpa itik Perancis (Foie gras) dan The Gourmet Roll.
Pada harga yang berpatutan bermula dari RM15 hingga RM50, pelanggan pasti berpuas hati dengan kelazatan hidangan Jepun yang unik ini, ujar Chef Azri.
Sagano Japanese Restaurant bukan sahaja menyediakan hidangan berbentuk bufet malah juga ala carte.
Restoran yang boleh memuatkan seramai 156 tetamu pada satu-satu masa itu juga menyediakan beberapa bilik khas seperti Tatami, Teppan dan bilik makan bagi mereka yang inginkan suasana privasi.
Ia dibuka setiap hari pada pukul 12.00 tengah hari hingga 11.00 malam. Untuk tempahan sila hubungi 03-2162 2233.
Oleh NOOR FAZRINA NOOR KAMAL

No comments:
Post a Comment