Friday, 12 May 2017

Halal dan Tepati Selera


AHMAD Farid Yahya menitikberatkan soal pemilihan peniaga yang ingin menyewa di Chow Food Gallery.
MELIHAT sahaja papan tanda di tingkat empat Plaza The Weld, Jalan Raja Chulan ini, pasti kita akan tertanya-tanya halalkah makanan di sini. Ini kerana tingkat yang menempatkan gerai-gerai makanan tersebut dinamakan sebagai Chow Food Gallery, malah tiada siapa pun menyangka pemilik sebenarnya berbangsa Melayu.
Ahmad Farid Yahya, 36, usahawan bumiputera yang memiliki sarjana pengurusan perniagaan dari Universiti Teknologi Mara berkata, itu merupakan salah satu strategi pemasaran mereka untuk menarik pelanggan-pelanggan berbangsa Cina.
Percaturan Ahmad Farid nyata menepati sasarannya kerana galeri makanan yang diusahakan sejak 21 Ogos 2006, dibanjiri rata-rata pekerja yang bekerja di kawasan sekitarnya yang kebanyakan daripada mereka adalah berbangsa Cina.
“Istilah Galeri Makanan dipilih kerana setelah membuat kajian, istilah itu yang paling tepat untuk menggambarkan kelompok gerai-gerai makanan jika dibandingkan dengan istilah Food Court yang kebiasaannya digunakan,” ujar Ahmad Farid ketika ditemui di majlis ramah mesra usahawan Permodalan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Terdapat 11 gerai yang menjual pelbagai makanan dan saya pastikan tiada persamaan makanan yang dijual.
“Saya dan rakan niaga amat menitikberatkan soal pemilihan peniaga yang ingin menyewa di situ. Kami memilih penjual mengikut prosedur dan peniaga akan mengeluarkan senarai makanan serta cadangan harga sebelum ahli lembaga pengarah meluluskannya,” ujar Ahmad Farid yang turut memiliki bakat memasak nasi ayam dan kari laksa.
Menurut beliau, kesemua makanan yang dijual di situ halal dan menepati selera pengunjung.
Antara makanan yang terdapat di situ ialah masakan Barat, Thai, nasi campur, nasi ayam, aneka mi, yong tau foo, char kuey tiau dan macam-macam lagi.
“Antara gerai-gerai makanan tersebut, gerai char kuey tiau paling mendapat sambutan.
“Ini kerana beliau telah berjaya memilih seorang peniaga Melayu bagi menyediakan menu yang begitu mirip dengan gaya masakan Cina,” jelas bapa kepada seorang anak perempuan.
Menurutnya, galeri ini dibuka lima hari seminggu dan ditutup pada Sabtu dan Ahad. Ia boleh menempatkan 520 pelanggan pada satu masa.
Bagi mereka yang ingin merasai keenakan dan kepelbagaian makanan boleh berkunjung di Chow Food Gallery, Lot L.4-B, Level 4, 76, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur atau e-mel: farid@chow.at atau www.chow.at.

No comments:

Post a Comment

Author