Saturday, 13 May 2017

Kelainan Rasa Masakan India


UDANG tandoori.
BERIANI, tandoori, naan, kari, dal, tosai dan capati adalah antara beberapa masakan India yang sebati dengan selera rakyat Malaysia. Tidak ketinggalan lasi mangga yang popular sebagai penghilang dahaga.
Namun apabila disebut rogan gosh, gulab jamun, tikka dan aloo gobi, ramai yang masih terpinga-pinga sedangkan ia juga masakan asli dari India yang tidak kurang enaknya.
Bagi yang belum pernah mencuba masakan dari utara dan selatan India ini, mungkin inilah masa untuk meluangkan masa mencuba sajian di Restoran Bombay Spice.
Terletak di tingkat bawah, pusat membeli belah The Gardens, Kuala Lumpur, restoran ini menyajikan hidangan asli India yang menyelerakan dalam suasana yang selesa dan santai.
Mengetengahkan konsep sajian kasual, restoran ini mensasarkan keluarga dan golongan kelas pekerja untuk hidangan berkualiti dalam lingkungan harga yang berpatutan.
Pengarah Spice of India, Thesan Selva berkata, di Bombay Spice, mereka menggunakan herba dan rempah ratus yang diimport sepenuhnya dari India bagi memastikan kualiti penyediaan dan rasa masakan betul-betul asli.
"Kebanyakan restoran India di Malaysia telah diubah sedikit resipinya untuk disesuaikan dengan selera rakyat tempatan. Tapi di Bombay Spice kami mengekalkan rasa asli hidangan India untuk mereka yang benar-benar ingin merasa gabungan herba, rempah dan kepakaran menyediakan sajian yang amat menyelerakan," ujarnya ketika ditemui pada sesi mencuba masakan di restoran tersebut baru-baru ini.
Thesan berkata, bagi memastikan sajian yang disediakan benar-benar asli dan memenuhi selera, dua chef berpengalaman diberi tanggungjawab memikul tugas itu.
"Seorang chef pakar dalam bahagian tandoori dan seorang lagi untuk bahagian penyediaan kari dan kuah. Ini bermakna kami menghidangkan masakan yang segar, panas dan paling penting ia halal.
"Pelanggan juga boleh melihat sendiri chef menyediakan masakan yang diingini menerusi cermin yang ada di ruang dapur," ujarnya.
Selain sajian-sajian asli dari India, Bombay Spice turut mempertaruhkan hidangan beriani yang dimasak dengan cara yang istimewa sebagai tarikan ke restoran itu.
Daging ayam atau kambing untuk beriani tersebut dimasak berlapis-lapis dan kemudian dicampur dengan beras berserta rempah kari dan herba untuk membangkitkan aroma yang menyelerakan.
Pelanggan yang datang pada waktu petang pula berpeluang memilih hidangan minum petang seperti samosa, teh masala dan snek.
Restoran ini juga unik dengan dekorasinya kerana rak di dinding penuh dengan mangkuk keluli yang biasa digunakan orang India untuk penyediaan makanan.
"Pelanggan yang berkenan dengan mangkuk-mangkuk keluli yang diimport dari India ini, boleh membelinya untuk kenangan atau digunakan di rumah," ujar Thesan.
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

No comments:

Post a Comment

Author